Monday, July 22, 2013

Faktor Utama Lelaki Dan Wanita Tidak Berkahwin


Hari ini pertambahan jumlah penduduk di Malaysia semakin hari bertambah sehingga mencecah 28 juta orang. Namun pertambahan ini tidak banyak kerana terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang masih belum lagi berkahwin. Antara faktor utama mereka tidak berkahwin adalah seperti masalah kewangan, tiada calon yang sesuai, kemajuan kerjaya, selesa hidup membujang dan sebagainya. Perkahwinan ini mempunyai 4 hukum seperti yang dijelaskan artikel sebelum ini iaitu Hukum Tidak Berkahwin

Bilangan rakyat Malaysia berumur 25 tahun ke atas yang tidak pernah berkahwin adalah seramai 2.5 juta orang atau 16.7 peratus daripada jumlah penduduk negara. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kie berkata, daripada jumlah tersebut, 60.4 peratus adalah lelaki dan 39.6 peratus lagi wanita.

Jelasnya, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 juga mendapati purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki telah menurun daripada 28.6 peratus pada 2000 kepada 28 peratus (2010). “Selain itu, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 pada 2004 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati 32.1 peratus daripada responden tidak pernah berkahwin.

“Daripada jumlah itu, 56.6 peratus daripada mereka ialah lelaki dan 44.4 peratus wanita,” katanya pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Senator Datuk Boon Som Inong yang meminta kementerian tersebut menyatakan jumlah wanita dan lelaki di negara ini yang belum berkahwin sertaadakah kerajaan bercadang mewujudkan pusat temu jodoh bagi membantu golongan tersebut.

Seai Kie memberitahu, hasil kajian yang sama juga mendapati faktor-faktor utama lelaki tidak berkahwin adalah masalah kewangan (44.7 peratus), tiada calon sesuai (19.3 peratus), kemajuan kerjaya (12.8 peratus) dan mempunyai komitmen terhadap keluarga (7.4 peratus).

Katanya, bagi golongan wanita, punca utama adalah tiada calon sesuai (40 peratus), masalah kewangan (14 peratus), kemajuan kerjaya (8.4 peratus), selesa hidup membujang (8.4 peratus) dan mempunyai komitmen terhadap keluarga (7.4 peratus).

Jelasnya, buat masa ini, kementerian tidak bercadang untuk mewujudkan perkhidmatan pusat temu jodoh secara online.

“Ini kerana perkhidmatan tersebut telah disediakan oleh pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa parti politik,” katanya.

No comments:

Post a Comment